AHMAD Tajuddin (tengah) bersama Pengetua SMK Hosba, Yusri Bappu (tiga dari kanan) beramah mesra dengan pelajar.
AHMAD Tajuddin (tengah) bersama Pengetua SMK Hosba, Yusri Bappu (tiga dari kanan) beramah mesra dengan pelajar.
Aizat Sharif


Kubang Pasu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan kaedah pembelajaran dua hari seminggu di sekolah harian terpilih dalam usaha memperkasakan Program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) dan mengelakkan keciciran pelajar selepas tingkatan tiga.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan) Datuk Ahmad Tajudin Jab berkata, kaedah berkenaan yang dimulakan awal bulan ini mempunyai jaringan dengan sektor industri, sekali gus membolehkan pelajar yang mengikuti program itu menjalani latihan industri.

“Ini bermaksud mereka (pelajar) hanya akan bersekolah dua hari dan menjalani latihan industri tiga hari di sektor industri yang disertai mereka.

“Sekolah terbabit adalah sekolah menengah harian di seluruh negara dan untuk permulaan PIMA, kita memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh yang bernaung di bawah Jabatan Pendidikan Gombak sebagai sekolah perintis.

“Ada 25 pelajar sekolah itu yang menyertai program berkenaan membabitkan diri dalam beberapa sektor industri teknikal seperti automotif, penyelenggaraan alat pendingin hawa, motosikal, pembuatan tekstil serta perniagaan spa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang 2017 kali ke-28 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, di sini, semalam.

Ahmad Tajudin berkata, selain mengelak keciciran pelajar selepas tingkatan tiga, program itu juga bertujuan memperkayakan pelajar dengan pengalaman berkhidmat dalam pelbagai industri sebelum tamat pengajian.

“Kita memfokuskan kepada pelajar yang tidak cemerlang atau kurang berminat dalam akademik di sekolah terutama selepas Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan cenderung dalam bidang teknikal atau kemahiran.

“Tidak perlu tunggu tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru hendak belajar kemahiran, lebih baik mereka mula awal dalam bidang pekerjaan menerusi program ini kerana lambat laun, mereka akan menyertai bidang kemahiran ini juga,” katanya.

Beliau berkata, melalui latihan industri pelajar akan didedahkan dengan dunia pekerjaan sebenar dan mempelajari etika pekerjaan, komunikasi dalam bahasa Inggeris dan ilmu perniagaan.

“Kita menjangkakan untuk memperluaskan lagi program PIMA ini ke seluruh sekolah menegah harian terpilih di seluruh negara termasuk Kedah pada Jun nanti.

“Program di SMK Bukit Rahman Putra sudah bermula dua minggu lalu dan kita melihat perkembangan baik serta akan melaporkannya kepada menteri,” katanya.

Beliau berkata, program itu sudah dilaksanakan di peringkat sekolah vokasional dan berjaya menghasilkan hampir 500,000 pelajar seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 4:07 AM