BADROL memberi ubat kepada bapanya di Kampung Cherang, Kota Bharu.
myMetro

Kota Bharu: “Saya tidak sanggup tinggalkan ayah yang sakit tua keseorangan, bila dia ada bersama, hati lebih tenang untuk bekerja,” kata Badrol Isam Ismail, 44, yang membawa bersama bapanya ke tempat kerja setiap hari, sejak tiga tahun lalu.

Badrol yang juga orang kurang upaya (OKU) bekerja membawa kereta tumpang atau ‘prebet sapu’ bagi menyara hidup bersama bapanya, Ismail Shafie, 74, yang sakit tua.

“Setiap hari, ayah akan menjadi penumpang tetap di bahagian hadapan sambil dia mencari penumpang di sekitar stesen bas Tesco Lembah Sireh atau sekitar Bandar Kota Bharu.

“Jika dapat penumpang yang mahu dihantar sekitar Kota Bharu hingga Lundang, saya akan tinggalkan sekejap ayah di kedai makan di stesen Kota Bharu, tapi kalau jauh macam Pengkalan Kubur saya bawanya bersama,” katanya ketika ditemui di Kampung Cherang, di sini.

Badrol berkata, seawal 5 pagi dia sudah mengangkat bapanya yang tidak berupaya berjalan mengambil penumpang di stesen bas dan hanya pulang ke rumah sekitar 12 tengah malam.

“Biasanya saya mengambil penumpang yang baru turun daripada bas dengan pendapatan sekitar RM30 sehari dan jika mahu lebih wang, saya sanggup menghantar penumpang sehingga ke Besut, Terengganu.

“Saya buat kerja ini selepas beli kereta Proton Iswara terpakai berharga RM2,500 hasil bekerja di Kuala Lumpur sebelum sakit,” katanya yang mengambil ubat sakit mental sebulan sekali di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Badrol berkata, dia sudah lebih 20 kali berpindah rumah kerana tidak mampu membayar sewa, malah pernah menumpang tidur di tapak pembinaan kerana duit bekerja sekadar cukup untuk minyak kereta dan membeli makanan.

“Kini saya menyewa di rumah tinggal tanpa kemudahan asas seperti dapur, bilik dan tandas dengan sewa RM100 sebulan dibayar oleh rakan yang simpati dengan nasib kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 8:15 AM