MUHAMMAD Zambeeri dan Noor Hayati menunjukkan keadaan anak mereka, Muhamad Shafiq yang koma di HPP.

Bukit Mertajam: “Dia pernah menyuarakan hasrat kembali membantu saya bekerja jika kesihatannya pulih semula.”

Itu keinginan dipendam seorang anak yang juga penghidap kanser tulang tahap empat terhadap bapanya sejak dikesan menghidap penyakit berkenaan, November tahun lalu.

Muhammad Zambeeri Md Sidek, 45, berkata, walaupun peluang anak lelaki sulungnya, Muhamad Shafiq, 22, untuk kembali sihat kelam, air matanya pasti akan mengalir sendiri setiap kali melihat keadaan anaknya yang terlantar dan koma di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Dia berkata, sebelum ini, mereka bekerja bersama-sama selama dua tahun apabila Muhammad Zambeeri sebagai pemandu lori manakala Muhamad Shafiq sebagai kelindan, tetapi kini semuanya tinggal kenangan.

“Tekanan darah anak saya menurun secara mendadak dan didapati terkena jangkitan kuman dalam jantung serta paru-parunya menyebabkan dia terpaksa dimasukkan semula ke HPP. Sebelum ini, dia baru keluar dari HPP dua minggu lalu berikutan koma hampir empat bulan.

“Muhamad Shafiq disahkan menghidap kanser tulang menyebabkan mengalami sakit tulang belakang hingga memberi kesan kepada beberapa bahagian organ dalaman termasuk perut menjadi seperti busut.

“Memang agak mengejutkan menerima berita dia disahkan menghidap kanser tahap empat, walaupun sebelum ini dia tidak pernah menunjukkan tanda-tanda sakit,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Kecil, Juru, di sini.

Muhammad Zambeeri berkata, kesan kanser itu menyebabkan anaknya sekali gus hanya terlantar di atas katil hingga memerlukan bantuan isteri, Noor Hayati Abdullah, 42, menguruskan segala keperluan diri.

Dia berkata, segala keperluan termasuk kain lampin pakai buang, ubat kahak, sarung kaki khas, dua susu khas serta plaster ubat bagi mengelakkan punggung anaknya itu melecet akibat terlantar lama dan lain-lain lagi membabitkan kos hampir RM900 setiap bulan.

Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Public Bank (4166155105) atas nama Muhammad Zambeeri Md Sidek atau menghubunginya di talian 0127064821.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 5:47 AM