WAN Noraidah (kanan) bersama Ahmad.
Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: “Saya nak ke sekolah, nanti nak jadi polis.” Itu kata-kata diluahkan Ahmad, (bukan nama sebenar) berusia tujuh tahun yang sah berada dalam jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak (RKK) bermula semalam.

Dia dibawa pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan ke Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur bagi mendapatkan perintah jagaan sementara bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan untuk mengesan warisnya.

Ahmad kelihatan riang dengan pakaian baru disediakan RKK, Ahmad turut menjawab beberapa soalan ketika berbual dengan Pengarah JKMWPKL Wan Noraidah Wan Mohd Zain dan Ketua Bahagian Kaunseling JKM, Nuridawati Mohd Noor.

Ditanya mengenai perasaannya berada di tempat baru, Ahmad berkata, dia mempunyai ramai kawan dan seronok berada di RKK namun rindu untuk bersama ayahnya.

“Saya seronok, ada ramai kawan dan dapat makan nasi goreng,” katanya ringkas.

Ahmad seperti yang dilaporkan dalam muka depan Harian Metro, Sabtu lalu melakukan empat pekerjaan untuk menyara dirinya dan bapa yang juga seorang penagih dadah sebelum diselamatkan JKMWPKL sebaik dimaklumkan wartawan.

Berikutan itu, pada Isnin, bapa Ahmad berjanji dengan jabatan itu untuk menyelesaikan dokumen peribadi anak lelakinya itu untuk urusan persekolahan.

Sementara itu, Wan Noraidah berkata, perintah jagaan sementara di bawah Seksyen 19 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 membolehkan Ahmad diletakkan di bawah RKK sementara siasatan dijalankan untuk mengesan warisnya.

“Selepas perbincangan bersama bapanya kelmarin, kita belum ambil tindakan drastik kerana perlu temu duga kerana kanak-kanak ini masih mempunyai bapa.

“Hasil temu duga bersama pelindung, ayahnya dengan rela hati memberi kerjasama kepada kita untuk menyelamatkan Ahmad dan ditempatkan di RKK untuk penjagaan sementara,” katanya. kepada Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 5:58 AM