Petugas istana menyusun kerusi sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penggunaan peralatan kebesaran dalam upacara rasmi khususnya pertabalan sudah lama diamalkan kerajaan beraja seperti Jepun dan England.

Peralatan kebesaran menjadi identiti atau imej pemerintah dan kerajaannya dan menurut catatan sejarah, peralatan itu juga dibawa ketika peperangan, memburu, dan ketika raja keluar dari istana.

Antara barang dijadikan simbolik oleh raja ialah senjata, pakaian, pingat dan mahkota.

Bagi Malaysia yang memelihara institusi beraja dengan mengangkat Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara, terdapat alat kebesaran khas yang diwarisi sejak kemerdekaan negara.

Sempena istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V, rakyat berpeluang menyaksikan alat kebesaran ini.

​​​​​Pakaian istiadat yang disarungkan Yang di-Pertuan Agong pada majlis pertabalan iaitu Muskat, Tengkolok, Pending dan Keris Pendek sebahagian peralatan kebesaran.

Muskat pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong yang diilhamkan daripada pakaian tradisi rakyat Oman dan pakaian Sultan negeri Kedah.

Muskat Yang di-Pertuan Agong mula digunakan pada 1960 ketika pertabalan Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra Alhaj.

Kot panjang hitam dengan hiasan kerawang emas itu diturunkan daripada Yang di-Pertuan Agong kepada Yang di-Pertuan Agong seterusnya dan hanya dipakai pada acara tertentu iaitu Hari Pertabalan dan Hari Keputeraan, ketika lawatan rasmi Baginda ke seluruh Malaysia dan perasmian persidangan Parlimen.

Tengkolok hitam bersulam emas turut dipakai pada hari pertabalan. Solek atau ikatan tengkolok dinamakan ‘Dendam Tak Sudah’ yang berasal dari Negeri Sembilan.

Pada hadapan tengkolok tersemat anak bulan dan bintang pecah 14 diperbuat daripada emas putih serta terdapat Lambang Persekutuan di tengah bintang.

​​​​​​Pending pula diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah bersulam permata delima dan di tengahnya tertera Lambang Persekutuan.

Tali bengkung pula dihasilkan daripada kain sakhlat bertekat benang emas dengan corak berbunga. Keris Pendek Diraja hanya disarungkan Yang di-Pertuan Agong sebagai pakaian kebesaran.

Keris itu diperbuat daripada mata keris lama dengan berhulu dan bersarungkan gading bertatah emas. Hulu keris dinamakan Hulu Pekaka dan berupa kepala Garuda, manakala pada sampir diterapkan dengan Lambang Persekutuan.

​​​​​​Keris Panjang Diraja adalah keris kerajaan yang menjadi tanda kebesaran dan kekuasaan kerajaan. Keris itu bersalut emas dari hulu hingga ke sarung dan di atas sampir diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan serta lambang 11 negeri Tanah Melayu.

Mata keris ditempa daripada besi waja yang diambil daripada 11 bilah keris dari semua negeri. Hulu keris itu berbentuk tapak kuda dengan hiasan jering. Keris Panjang Diraja digunakan Yang di-Pertuan Agong pada istiadat tertentu saja.

​​​​​​Cogan Alam adalah tongkat perak sepanjang 162.66 sentimeter. Pada sekeliling bulatan di atas tongkat diterapkan lambang 11 negeri Tanah Melayu dan diperbuat daripada emas. Bulatan itu ditanggung empat lembaga harimau yang berdiri manakala tongkat dihiasi dengan motif enam tangkai padi daripada emas.

Pada bahagian paling atas pula diletakkan ukiran anak bulan dan bintang daripada emas. Cogan Agama pula tongkat perak sepanjang 155.04 sentimeter. Pada batang dan hulunya diterap ayat suci al-Quran manakala pada puncak tongkat terdapat ukiran anak bulan dengan bintang pecah lima diperbuat daripada emas.

Peralatan diraja lain adalah alatan perang zaman silam, iaitu Cokmar, Pedang, Keris Panjang dan Sundang Diraja. Cokmar ialah dua tongkat pendek yang mempunyai hulu berbentuk kubah. Cokmar diperbuat daripada perak dengan masing-masing berukuran 81.32 sentimeter. Pedang, Keris Panjang dan Sundang Diraja ialah tiga senjata Melayu yang dijadikan sebahagian alat kebesaran diraja.

Keris Panjang dan Sundang bersalut dengan perak serta berukir di hulu dan sarungnya. Peralatan Diraja yang turut memainkan peranan penting pada istiadat rasmi ialah 20 kaki Payung Ubur-Ubur Kuning yang diperbuat daripada kain sutera kuning diraja berpuncak anak bulan dan bintang dan 20 batang Tombak Berambu berlok tiga yang diperbuat daripada tombak pusaka dari 11 negeri di Semenanjung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 8:03 AM