Penduduk Orang Asli berkumpul bagi meraikan kemenangan mereka terhadap tuntutan tanah adat ketika ditemui di Pos Belatim, semalam.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: “Kemenangan kami membuat tuntutan tanah adat di Pos Belatim, di sini, membuktikan hak Orang Asli diiktiraf.

“Bagi meraikan kemenangan itu, saya bersama rakan akan menjelajah ke seluruh kampung Orang Asli di negeri ini dan mengadakan majlis kesyukuran. Ia sejarah perjuangan kami dalam menentukan masa depan untuk memiliki tanah sendiri,” kata Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan Mustafa Along.

Menurutnya, kemenangan itu positif dan akan berbincang dengan semua kaum di seluruh kampung untuk meminta pandangan sebelum membuat tindakan seterusnya.

“Banyak lagi tanah adat kami diambil pihak tertentu termasuk untuk kerja pembalakan dan perladangan.

“Kami akan membuat penelitian mengenai kawasan terbabit sebelum dibawa ke mahkamah selepas ini dan yakin perkara itu akan memihak kepada Orang Asli,” katanya ketika ditemui di Pos Belatim, di sini, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memutuskan tanah adat seluas 9,361.5 hektar di Pos Belatim hak milik Orang Asli.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Zainal Azman Ab Aziz, sekali gus membatalkan perjanjian kerajaan negeri bagi membangunkan Ladang Rakyat di kawasan itu.

Pada 2011, Rosli Along, Angah Along dan Hassan Alang yang mewakili penduduk Orang Asli Pos Belatim memohon semakan kehakiman dengan menamakan kerajaan sebagai responden pertama dan Pengarah Tanah dan Galian negeri sebagai responden kedua.

Seorang penduduk Orang Asli, Ayel Ajib, 50, berkata, keputusan mahkamah membuatkan dirinya hampir menitiskan air mata kerana terlalu gembira.

“Kaum kami selama ini hidup tertindas dengan ketamakan pihak tidak bertanggungjawab yang monopoli tanah adat hingga kami berdepan pelbagai masalah termasuk air sungai tercemar dan hutan gondol.

“Kami harap pihak lain jangan lagi mencabar kami dengan mengambil tanah adat dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Keterangan gambar:

1. Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along.

2. Penduduk Orang Asli berkumpul bagi meraikan kemenangan mereka terhadap tuntutan tanah adat ketika ditemui di Pos Belatim, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 3:28 AM