ASET udara TLDM turut digunakan dalam misi menyelamat.
PERSEMBAHAN aset udara milik TLDM.
DEMONSTRASI menyelamatkan tebusan oleh anggota PASKAL TLDM.
Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) antara aksi mendebarkan dipertontonkan kepada pengunjung pada Hari Terbuka Armada sempena sambutan Hari TLDM ke-83 di Tambatan Pangkalan TLDM, di sini, semalam.

Pertunjukan pasukan ‘panglima hitam’ dipersembahkan dengan situasi cemas apabila orang kenamaan (VIP) diculik sekumpulan pengganas manakala dua pengawal peribadinya dicampak ke laut dengan kedua-dua kaki dan tangan diikat.

Aksi mendebarkan bermula apabila dua pegawal peribadi dicampakkan ke laut namun mereka berjaya berenang ke darat walaupun kaki dan tangan terikat.

Kedua-dua mereka adalah bekas anggota pasukan khas yang terlatih dengan teknik drown proofing iaitu teknik untuk menyelamatkan diri di laut.

Kejadian itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa dan seterusnya pasukan elit PASKAL dikerahkan ke lokasi bagi menyelamatkan tebusan apabila rundingan yang dijalankan gagal kerana tuntutan pengganas itu tidak dipenuhi.

Aksi tembak menembak disusuli dengan letupan antara anggota PASKAL dan kumpulan pengganas berjaya memukau penonton yang teruja melihat kejadian yang mendebarkan itu, sekali gus mendapat tepukan gemuruh pengunjung apabila anggota elit terbabit berjaya menyelamatkan tebusan dengan pantas.

Pada masa sama, pengunjung yang berdiri di bawah panas terik dihiburkan dengan demonstrasi lintas lalu daripada dua aset udara TLDM iaitu pesawat Fennec SKN 502 dan Super Lynx.

Selain itu, turut dipersembahkan aksi penerjunan empat anggota PASKAL daripada pasukan payung terjun atau The Flying Frog dan tiga penerjun Smoke Jumpers Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dengan menaiki pesawat Super Lynx pada ketinggian 6,000 kaki dengan membawa beberapa bendera.

Itu antara aktiviti sepanjang tiga hari Hari Terbuka Armada 2017 bermula Jumaat lalu yang berakhir semalam selain lawatan kapal dan aset TLDM, promosi kerjaya TLDM, mini Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dan Perak Agrofest 2017 yang menyasarkan lebih 60,000 pengunjung.

Ketua Tim Gempur Kapal Diraja (KD) Panglima Hitam merangkap Pengarah Demonstrasi Leftenan Komander Mohd Faizzal Mohd Ali berkata, demonstrasi itu antara kaedah yang digunakan untuk menyelamatkan tebusan di laut.

Katanya, ia adalah rutin harian PASKAL untuk memahirkan anggota dengan tugas operasi dan dipertontonkan kepada pengunjung untuk memberi peluang kepada orang awam melihat tugas mereka dalam melawan keganasan.

“Tiada latihan khas untuk demonstrasi ini kerana ia adalah rutin harian kami untuk meningkatkan kemahiran anggota. Ia membabitkan 36 anggota dan pegawai serta empat aset laut dan dua aset udara TLDM,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu, pengunjung, Nur Fasiha Sahrin, 29, berkata, aksi menyelamatkan tebusan itu amat mendebarkan namun dia gembira kerana berpeluang menyaksikan demontrasi daripada pasukan elit TLDM.

“Aksi ini membawa kelainan dengan mempunyai tarikan tersendiri apabila pengunjung didedahkan dengan ketangkasan anggota elit TLDM, sekali gus menunjukkan pasukan itu terlatih dan cekap.

“Pendedahan ini juga menunjukkan pergorbanan anggota tentera yang sanggup mempertaruhkan nyawa dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 8:35 AM