KHAILAH melihat keadaan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Medang.
KHAILAH melihat keadaan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Medang.

Pekan: “Saya hanya ingat emak, Saodah Md Aki, 85, yang tidak dapat berjalan di bilik bahagian tengah rumah apabila melihat api
di bahagian dapur.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu saya dibantu anak, Nurul Sakinah Nor Afindi, 25, mengangkat emak keluar dari rumah,” kata Khailah Alias, 48, mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Medang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah papan yang didiami 40 tahun lalu musnah hanya dalam masa 10 minit.

Khailah berkata, ketika kejadian dia sedang membersihkan kawasan rumah sebelum anaknya menjerit apabila melihat api di bahagian dapur yang begitu cepat merebak hingga menyebabkan semua barangan tidak dapat diselamatkan.

Katanya, walaupun kehilangan semua barangan, pakaian dan perabot termasuk dokumen penting, dia bersyukur menyelamatkan ibunya yang uzur.

Ibu tunggal itu berkata, hanya dalam sekelip mata rumah pusaka yang diduduki sejak 40 tahun lalu rentung menyebabkan kerugian lebih RM90,000.

“Semua kenangan bersama ahli keluarga di rumah ini musnah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 1:32 PM