PENASIHAT Agama kepada Perdana Menteri Tan Sri Dr Abdullah Md Zin (kiri) bersama Dr Abbas Syuman pada Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 di PICC.
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kewajipan memberi wala’ (kecintaan dan kesetiaan) kepada pemimpin di dalam sebuah negara amat penting dan ia boleh menentukan masa depan dan kejayaan yang hendak dicapai.

Timbalan Syeikh Universiti Al-Azhar Mesir Prof Dr Abbas Syuman berkata, konsep itu juga akan menentukan sesebuah kerajaan dapat bertahan lama dalam keadaan aman dan harmoni.

Menurutnya, sesebuah negara akan hancur akibat perpecahan jika anggota atau ahlinya gagal menunaikan tanggungjawab menzahirkan wala’ dan taat atau kesetiaan kepada ketua, pemimpin dan negara.

“Kesetiaan merujuk kepada semangat sepasukan dalam suatu saf yang kukuh lagi padu tidak terpisah daripada pemimpin dan ketuanya.

“Ia menjadi tuntutan agama lebih-lebih lagi dalam budaya pandangan dan tindakan politik berasaskan prinsip spekulasi dan andaian pada hari ini,” katanya pada ucaptama Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 Fiqh Wala’ dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, wala’ dari segi bahasa ialah penjaga, pemimpin, pelindung dan penyerahan malah, ia juga membawa maksud dekat, kasih, mengikut, memberi pertolongan dan perlindungan.

“Konsep wala’ yang diamalkan di dalam sesebuah organisasi politik bermaksud kesetiaan seseorang kepada ketua, pemimpin, imam atau seumpamanya dipupuk dengan nilai kasih sayang, kepatuhan, sumpah setia, taat dan bai’ah yang wajib diberikan kepada pemimpin sah.

“Justeru, dalam konteks pemerintahan pada masa kini adalah presiden parti manakala kerajaan ialah perdana menteri,” katanya.

Katanya, ketaatan dan kepatuhan kepada pemimpin itu hanyalah tertakluk kepada perkara kebaikan yang tidak melanggar syarak dan bukannya membuta tuli tanpa pengetahuan dan usul periksa.

Pada masa sama, Dr Abbas berkata, konsep wala’ dan taat menggalakkan budaya politik berasaskan ilmu, fakta dan kebenaran, mengelakkan perselisihan dan konfrontasi dalam kalangan rakyat dan pemerintah, mengelak ketidakstabilan politik, sosial dan ekonomi negara.

Katanya, ia juga membendung budaya memperkotak-katik rakyat melalui pelbagai bentuk manipulasi termasuk menutup ruang terhadap campur tangan kuasa asing dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 6:18 AM