Dzulkifli (lima dari kiri) bersama pengarang kanan daripada media arus perdana.
BERNAMA

Putrajaya: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad berpuas hati dengan hasil operasi SPRM sepanjang lapan bulan beliau menerajui SPRM dan kini ingin memperkenalkan inisiatif baru.

Antara langkah itu ialah menubuhkan kumpulan yang terdiri daripada pihak berkepentingan dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata demikian pada pertemuan pertama ‘Anti-Corruption Media Caucus’ (ACMC) yang ditubuhkan untuk mempertingkatkan kerjasama antara pihak media dan SPRM dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Pasukan itu terdiri daripada editor kanan media cetak dan media elektronik serta pegawai kanan SPRM.

Selain mengambil pihak media sebagai rakan strategik, sebuah lagi kumpulan serupa ditubuhkan oleh SPRM dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa berkaitan alam sekitar seperti pembalakan dan pengeluaran hasil bumi secara haram.

Kumpulan itu antara lain dianggotai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini sering menyuarakan isu-isu kemusnahan alam sekitar yang dikaitkan dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Dzulkifli berkata, inisiatif lain ialah melancarkan kempen ‘Gerakan Revolusi Anti Rasuah’ (Gerah) yang juga revolusi sosial yang cuba dicetuskan dalam kalangan rakyat untuk membenci rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata, rasuah berlaku dalam semua peringkat dan melangkaui batas kaum dan parti politik.

Ketua Pesuruhjaya itu yang sebelum ini berjanji untuk menghapuskan rasuah dalam tempoh tiga tahun sehingga 2020, yakin matlamat itu akan dapat dicapai dengan kerjasama semua pihak.

“Saya mahu masyarakat bangkit menentang rasuah dan salah laku,” kata beliau.

Dzulkifli dilantik ke jawatan itu menggantikan Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed pada 1 Ogos 2016.

Katanya, SPRM juga akan melancarkan inisiatif Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 5:34 AM