WEE BEE SENG.
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang diserang sakit jantung mendadak di belakang sebuah premis di Jalan Genting Klang, Setapak, di sini, bernasib baik apabila diberikan bantuan awal oleh pegawai polis yang kebetulan melalui kawasan itu.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari semalam, lelaki berusia 50 tahun itu cuba mendapatkan bantuan orang awam namun gagal.

Pegawai polis yang menyelamatkan mangsa, Asisten Superintendan Wee Bee Seng berkata, dia sempat melihat mangsa ketika sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

“Saya ternampak seorang lelaki berada dalam keadaan tercungap-cungap dan mengadu sakit dada melampau.

“Mangsa yang keseorangan meronta-ronta kesakitan sambil cuba menarik perhatian orang ramai namun tiada siapa menyedari keadaannya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau yang juga Ketua Polis Balai Setapak berkata, dia terus mendekati mangsa sebelum memberi bantuan awal serta menenangkannya.

“Saya kemudian menghubungi ambulans sebelum sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) tiba di lokasi dan membawa lelaki itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Jika lewat memberi bantuan, kemungkinan besar lelaki itu akan meninggal dunia. Dia kini berada dalam keadaan stabil di HKL selepas menerima rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 6:17 AM