Amirah Athirah bersama ahli pasukannya dalam cabaran Shell Eco-Marathon Asia 2017 di Changi Exhibition Centre Singapura.
Ayusliza Azizan


Menggalas tugas sebagai kapten untuk pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Eco-Sprint bukannya mudah khususnya bagi seorang wanita dalam menceburi bidang kejuruteraan permotoran.

Bagaimanapun, Amirah Athirah Rohazam, 25, sudah membuktikan jantina bukan penghalang untuknya mengemudi pasukan berkenaan.

Apa yang menarik kejayaan sudah digapai dalam pasukan itu termasuk yang terbaru apabila berjaya merangkul kejuaraan bagi kategori Prototype Hydrogen pada cabaran Shell Eco-Marathon Asia 2017 di Changi Exhibition Centre, Singapura dari 15 hingga 20 Mac lalu.

Penuntut tahun akhir Kejuruteraan Elektronik, UiTM Shah Alam itu mengakui ia tugas berat apabila perlu menguruskan pasukan yang hampir keseluruhannya terdiri daripada ahli lelaki.

Amirah Athirah berkata, kumpulannya terdiri daripada 27 orang dengan 20 daripadanya lelaki dan tujuh perempuan membabitkan penuntut daripada pelbagai bidang seperti kejuruteraan elektrik, mekanikal, seni dan reka bentuk.

“Setiap daripada kami ada peranan masing-masing contohnya penuntut seni dan reka bentuk berperanan dalam seni reka luaran prototaip manakala penuntut kejuruteraan elektrik bertanggungjawab dalam pembangunan reka bentuk prototaip dan kejuruteraan mekanikal pula berperanan dalam elemen penggerak tenaga iaitu tenaga hidrogen yang digunakan.

“Pasukan kami sangat bertuah kerana mewarisi ilmu daripada ahli pasukan terdahulu dan kami hanya perlu menjalankan kajian bagaimana untuk menjadikan kereta ini lebih laju serta kaedah mengurangkan penggunaan hidrogen sebagai tenaga penggerak untuk mendapatkan lebih mata,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirah Athirah berkata, kumpulan itu yang ditubuhkan pada 2012 menghasilkan prototaip kereta berbentuk aerodinamik yang mana ia menggunakan hidrogen sebagai tenaga penggerak.

“Badan kereta ini dihasilkan daripada gentian kaca dan ia menggunakan hidrogen untuk bergerak namun pemenang dikira berdasarkan penggunaan hidrogen yang sangat kurang.

“Dalam pertandingan, kereta ini dipandu tetapi bukan berlumba sebaliknya ia mengutamakan kecekapan tenaga,” katanya.

Menurutnya, walaupun lebih ramai lelaki dalam kumpulan itu semua ahli menunjukkan komitmen tinggi, kerjasama yang baik serta semangat berpasukan.

Anak sulung daripada empat beradik itu mengakui ibu bapanya membentuk dirinya menjadi ketua kepada semua adik lelakinya malah dia sudah biasa dan tiada masalah menjadi kapten untuk pasukan berkenaan.

Katanya, daripada situ, ia mengukuhkan lagi sikap kepemimpinannya dan dia perlu tegas dalam memastikan arahan serta tugas yang diberikan diterima seterusnya dilakukan dengan baik.

Selain itu, katanya, dalam pertandingan yang disertai ia mengajarnya kemahiran pengurusan yang betul, bagaimana berkomunikasi dengan pihak atasan dan ahli pasukan bagi menjadikan semuanya lengkap dan tepat pada masanya.

Menurutnya, selain peranan seorang kapten, kejayaan yang diperoleh pasukan mereka juga hasil kerjasama serta rasa tanggungjawab setiap ahli yang tahu serta mahir dalam tugas masing-masing.

Mengenai cabaran, dia mengakui ia sentiasa ada namun mereka belajar daripada pengalaman bekas pasukan selain kerap bertanya kepada pakar.

Bagi perancangan masa depan, mereka bercadang menyertai Eco-Challenge di Okinawa, Jepun yang akan diadakan Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 9:54 AM