MUHAMMAD Fareez bersama Pengerusi YDAB, Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar (dua dari kanan).
Nur Izzati Izzah Nadzi

KIRA-KIRA 50,000 anak-anak daripada keluarga tidak berkemampuan Bumiputera yang tercicir dalam pendidikan diberi peluang dan ditempatkan di 35 institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk kolej kemahiran di seluruh negara tahun ini.

Ia dilakukan menerusi pelaksanaan Program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2017 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Bera, Pahang, 11 Mac lalu.

Pengarah Projek Khas Anak Miskin Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) Muhammad Fareez Abu Suaib Khan, 28, berkata, melalui JPB 2017 pihaknya berusaha mencari dan mengenal pasti anak keluarga miskin untuk ditempatkan di IPT awam dan swasta serta kolej kemahiran di seluruh negara.

“Sebelum ini, YDAB melaksanakan program Jelajah Destini Anak Bangsa selama lima tahun dan menempatkan anak miskin ini di Universiti Teknologi Mara (UiTM) saja.

“Namun, kali ini 35 universiti tempatan dan swasta serta kolej kemahiran akan menempatkan anak miskin yang mendapat keputusan sederhana bagi melanjutkan pelajaran,” katanya.

JPB 2017 menyediakan peluang kedua kepada pelajar Bumiputera yang kurang berkemampuan di luar bandar dan pedalaman membabitkan 13 rakan strategik, 18 universiti awam serta 100 sekretariat yang menjelajah ke seluruh negara.

Muhammad Fareez berkata, pihaknya menjelajah selama dua bulan pada Mac dan April lalu bermula dari Bera hingga Bagan Datuk, Perak meliputi 42 parlimen di seluruh negara termasuk Sabah bagi memberi galakan dan peluang kepada mereka menyambung pelajaran.

“Apabila kita mengenal pasti anak miskin ini, kita berikan mereka surat tawaran dan ada juga antara mereka yang mengemukakan surat permohonan.

“Ia meliputi anak miskin yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), diploma dan lepasan matrikulasi,” katanya.

Beliau berkata, program jelajah YDAB itu akan dilaksanakan setiap tahun terutama selepas keputusan SPM diumumkan.

Menurutnya, YDAB adalah antara usaha UMNO memperkasakan pendidikan dalam kalangan Bumiputera terutama generasi kini yang tercicir dalam arus pendidikan pengajian tinggi terutama di luar bandar.

“Jadi, dengan saluran kerajaan ini kita gunakan untuk membantu golongan B40 yang tidak dapat menyambung pengajian kerana masalah kewangan.

“Kita sasar sekurang-kurangnya 50 peratus daripada rakyat memiliki diploma dan ijazah sebagai menyahut Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 5:16 AM