ANTARA barang yang dirampas daripada suspek. FOTO ihsan PDRM
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


LELAKI berusia 42 tahun yang menjual kereta murah tidak wujud secara dalam talian sejak 2016 sehingga meraih untung atas angin sebanyak RM218,500 ditahan dalam serbuan di pekan Sitiawan, Perak, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, lelaki itu menggunakan Facebook (FB), mudah.my dan Instagram sebagai medium mengiklankan kereta untuk dijual.

Katanya, sesiapa yang berminat untuk membeli kereta boleh menghubunginya ditalian 012-7728115.

"Seterusnya, mangsa akan diminta membuat bayaran pendahuluan antara RM500 hingga RM3,000. Namun, keesokannya, suspek cuba memperdaya mangsa dengan memaklumkan ada pembeli lain yang ingin membeli kereta yang sudah ditempah dengan bayaran penuh.

"Sekiranya, mangsa masih berminat untuk membeli kereta itu, mereka perlu membuat pembayaran penuh dan suspek tidak akan menjual kereta itu kepada individu lain.

"Mangsa yang terpedaya dengan helah lelaki itu membuat pembayaran penuh dan selepas itu, suspek menghilangkan diri," katanya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur, hari ini.

Acryl berkata, sebanyak 81 laporan polis diterima berkaitan penipuan suspek membabitkan kerugian RM218,500.

Katanya, siasatan mendapati suspek menggunakan 11 akaun bank tempatan milik lima individu dipercayai keldai akaun yang meminjamkan akaun mereka kepada suspek untuk urusan pembayaran.

"Dalam serbuan itu, polis merampas dua telefon bimbit, enam kad ATM dan satu komputer riba.

"Suspek akan direman esok untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 10:08 PM