Skip this ad x
PERSATUAN Penduduk Jinjang Selatan berkumpul dan membuat aduan polis beramai-ramai terhadap DBKL dan pemaju.
Siti Fatimah Nasir


SERAMAI 25 penduduk kawasan perumahan Lot 9714 Jinjang Selatan Tambahan membuat bantahan dan aduan kepada pihak polis berhubung projek pembangunan bakal dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Sosial Jinjang Selatan Tambahan, S P Karuppiah berkata, tujuan laporan polis dibuat untuk menyiasat isu di sebalik projek berkenaan.

“Aduan polis dibuat berikutan kami menetap di kawasan ini sejak 1969 pada masa sama diberi lesen menduduki sementara (TOL).

“Lesen TOL diberikan adalah bukti bahawa kami bukan penduduk setinggan yang tidak mempunyai hak ke atas ekuiti tanah ini,” katanya.

Menurutnya, seramai 107 keluarga yang mendapat notis pertama dan notis kedua dikeluarkan oleh DBKL menandatangani memorandum bantahan berhubung isu itu.

“Sejak menetap pada 1969, penduduk memohon mendapatkan geran tanah tetapi geran tanah itu diberikan kepada sebuah syarikat pemaju yang hanya wujud pada 2006.

“Kami tertanya-tanya mengapa permohonan penduduk tidak ditunaikan sejak dipindahkan ketika itu dan dijanjikan diberi geran tanah satu hari nanti,” katanya.

Manakala, S Arutchelvan berkata, tanah didiami penduduk sudah dijual kepada syarikat pemaju untuk tujuan projek pembangunan dan mengeluarkan notis kepada penduduk untuk mengosongkan kawasan perumahan sebelum 18 Mei ini.

“Kini, syarikat pemaju terbabit mahu mengusir kami menggunakan khidmat DBKL dan didapati pihak mereka juga bersekongkol bersama pemaju itu.

“Perkara ini harus disiasat andai tanah kerajaan ini sudah dijual kepada pihak pemaju atau sebaliknya,” katanya.

Katanya lagi, jika kerajaan sudah menjual tanah berkenaan kepada syarikat pemaju, mereka sepatutnya mendapatkan perintah mahkamah mengarahkan penduduk berpindah dari kawasan itu seperti ditetapkan dalam undang-undang.

Menurut Arutchelvan, DBKL ada menetapkan jumlah pampasan dan menawarkan sagu hati perpindahan sebanyak RM1,000 tetapi ia tidak mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 4:18 AM