LAKSA Ikan Sekoq yang menjadi rebutan pengunjung.
Asmah Rusman
asmah_rusman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Kurang 24 jam beroperasi di tapak Karnival WOW di Stadium Nasional Bukit Jalil yang bermula semalam, Gerai Laksa Ikan Sekoq dari Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang sudah diserbu pengunjung yang datang seawal jam 9 pagi.

Pemiliknya, Mohd Faizal Adam, 34, berkata, sehingga jam 1 tengah hari, dia sudah menjual hampir 1,000 mangkuk menu istimewa berkenaan pada harga RM7.

Menurut Mohd Faizal, dia sengaja datang awal ke tapak ekspo berkenaan dan sudah membuka gerai sejak petang kelmarin bagi penyediaan bahan kerana yakin menu itu antara yang dicari pengunjung ekspo.

“Saya menggunakan khidmat 15 pekerja yang bertungkus-lumus menyediakan menu laksa ini selain menu tambahan Bihun Sup Utara yang dijual pada harga RM6 semangkuk.

“Laksa Ikan Sekoq ini antara yang mendapat perhatian kerana sudah terkenal dan mempunyai penggemar yang sentiasa ternanti-nanti kehadiran gerai kami.

“Malah, saya juga masih mengekalkan resipi turun temurun daripada moyang saya yang mula berniaga menu ini sejak tahun 1970,” katanya.

Katanya, dia adalah generasi ketujuh yang mengusahakan perniagaan berkenaan dan sudah empat tahun memiliki gerai sendiri di Pasar Kemboja, Kubang Menerong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 3:25 AM