ANGGOTA bomba menyelamatkan penyu yang terperangkap. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menyelamatkan penyu yang terperangkap. FOTO ihsan Bomba
Mohd Khidir Zakaria


PENYU seberat 60 kilogram yang terperangkap pada jerejak di laluan air di Stesen Janakuasa Tuanku Ja'afar di Port Dickson diselamatkan bomba, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, penyu yang kudung satu kaki pendayungnya ditemui tersangkut pada jerejak yang bertujuan untuk menghalang objek memasuki laluan air di stesen janakuasa berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Razif Mohamad Haris berkata, sebuah jentera bersama enam anggota ke lokasi sejurus menerima panggilan.

"Anggota bomba turun dari jambatan setinggi lima meter dengan menggunakan tali. Anggota menggunakan karung plastik untuk menangkap penyu itu sebelum ditarik naik menggunakan jentera.

"Pemeriksaan mendapati kaki pendayung kanan depannya kudung menyebabkan tidak dapat berenang dengan kuat sehingga tersangkut. Ia dipercayai ditolak arus deras dari perairan Selat Melaka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, haiwan terbabit kemudian dilepaskan semula ke pantai berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 10:52 AM