SULTAN Sharafuddin Idris Shah menyambut salam pada majlis perasmian Masjid Perodua, Sungai Choh, Rawang. FOTO Aswadi Alias
Amrullah Abdul Karim


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan perasmian Masjid Perodua, Sungai Ching, Rawang, hari ini.

Baginda turut menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Baginda bertitah, Perodua sudah melaksanakan peranan dan tanggungjawab sosial korporat dengan membina masjid untuk kegunaan kakitangan dan masyarakat sekitarnya.

"Beta sukacita kerana Perodua mengambil inisiatif melaksanakan tanggungjawab korporatnya.

"Aktiviti seperti ini sangat penting kerana menunjukkan entiti korporat seperti Perodua bukan sekadar mengejar keuntungan tetapi menyumbang kembali kepada rakyat,” titah Baginda.

Sementara itu, Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin, berkata Masjid Perodua dibina di tanah seluas 3.5 hektar dan mampu menampung 3,000 jemaah dalam satu masa.

Beliau berkata, Perodua membelanjakan RM39 juta untuk membina masjid itu termasuk pembinaan Pusat Perkembangan Kanak-kanak Perodua (PCDC) dan jalan raya.

"Perodua mewakafkan masjid ini kepada Perbadanan Wakaf Selangor yang diterima Sultan Selangor," katanya.

Beliau berkata, Masjid Perodua dibina pada 4 Ogos 2014 dan siap sepenuhnya 1 Julai 2016.

"Sejak Ogos 2016, pelbagai aktiviti diadakan terutama kuliah agama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 3:59 PM