Remaja lelaki berusia 18 tahun (kiri) ditahan bersama 39 kampit beras pulut. FOTO ihsan PPM Tawau
Hazsyah Abdul Rahman


REMAJA lelaki, 18, ditahan selepas cuba menyeludup masuk 39 kampit beras pulut ke daerah ini melalui perairan Sungai Tongkang, dekat Tawau, dalam Ops Paradise, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, suspek yang berasal dari Kampung Sungai Melayu, Pulau Sebatik ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Pemangku Komander PPM 4 Wilayah Sabah Superintendan Norzaid Mohammad Said berkata, pemeriksaan ke atas bot jongkong yang dinaiki suspek mendapati ia sarat dengan muatan beras pulut seberat 975 kilogram.

"Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati semua 39 kampit beras itu tiada kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran," katanya di sini, hari ini.

Katanya, nilai rampasan termasuk bot jongkong dianggarkan RM20,750.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Jeti PPM Tawau untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dilakukan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 7:24 PM