Lokasi kebakaran di pusat pelupusan sampah haram. (Gambar kanan) Pesawat Bombardier melakukan kerja pemadaman api dari udara. FOTO ihsan bomba
Mohd Husni Mohd Noor


SEBUAH pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terpaksa dikerah bagi membantu memadam kebakaran di pusat pelupusan sampah haram di Kampung Tengah, Limau Manis di Sepang, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya Izman Adnan berkata, pesawat berkenaan dikerahkan bagi melakukan pemadaman dari udara dan kerja 'water bombing'.

Beliau berkata, kawasan seluas 1.2 hektar di pusat pelupusan sampah haram itu dikesan mula terbakar sejak Ahad lalu dan pihaknya kini masih berdepan kesukaran mengawal kebakaran.

"Mulai hari ini, kami akan berkawal selama 24 jam bagi memantau kebakaran itu yang sudah memasuki hari ketiga," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, kerja pemadaman sukar berikutan ketiadaan sumber air terdekat namun pihaknya akan berkawal sepanjang masa bagi mengawal api daripada merebak.

Izman berkata, lokasi kebakaran dikelilingi ladang getah dan lot tanah persendirian selain terletak kira-kira enam kilometer (km) dari kawasan penempatan penduduk di Putrajaya dan empat km dari Kampung Limau Manis.

Menurutnya, operasi pemadaman disertai 15 anggota Bomba dan Penyelamat Cyberjaya serta dua jentera selain bantuan masing-masing sebuah lori tangki air dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang dan Kajang.

"Operasi sama turut disertai pegawai dan kakitangan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor, Perbadanan Putrajaya (PPj), Pejabat Daerah Sepang, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan APMM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 6:00 PM