Nabihah Kamal 

 [email protected] 

 

DIA tidak dapat melihat, tetapi mampu menghasilkan ciptaan berguna untuk orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan iaitu E-Braille.

 Guru mat apelajaran Sejarah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Catat Penglihatan) Setapak, Zakaria Yahya, 50, ternyata cukup istimewa.

E-Braille adalah alat elektronik berfungsi membantu OKU cacat penglihatan membaca dan ia dilengkapi dengan papan kekunci braille serta bantuan sistem audio.

 Titik braille di papan kekunci akan timbul pada alat elektronik E-Braille apabila pengguna memilih bahan bacaan yang dimasukkan melalui ‘pendrive’.

 Menurut Zakaria, dia yang mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan selama 18 tahun mengimpikan kerjaya sebagai seorang guru sejak dibangku sekolah lagi.

"Saya belajar di sekolah biasa di Melaka. Pelbagai cabaran yang saya hadapi dan ejekan adalah perkara biasa. Orang celik pun ada diejek, inikan pula saya yang cacat penglihatan.

 "Pengalaman yang ada dijadikan kekuatan untuk mengejar impian saya menjadi seorang guru Sejarah," katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Pengkhususan Sejarah) Universiti Malaya.

 Menurutnya, kekurangan yang ada bukan penghalang untuk mendidik anak bangsa terutama golongan senasib dengannya.

"Jika ada anak murid yang sedikit nakal mengejek, ia biasa. Tidak perlu ambil hati.

 "Kita tidak boleh melihat kekurangan tetapi perlu menggunakan kelebihan yang ada untuk memotivasikan diri. Jika saya tiada motivasi, bagaimana mahu mengejar impian membantu anak bangsa saya untuk berjaya," katanya.

 Zakaria berkata, walaupun cacat penglihatan, dia menggunakan kekurangan itu sebagai kelebihan dengan mencipta inovasi baru untuk golongan cacat penglihatan.

"Sukar bagi golongan cacat penglihatan membaca al-Quran, mereka perlu membawa enam jilid buku tulisan braille yang mempunyai 30 juzuk. Beratnya adalah 10 kilogram.

"Dengan adanya kemudahan E-Braille, hanya perlu masukk ‘pendrive’ dan mereka boleh baca apa-apa bahan bacaan," katanya yang menghasilkan E-Braille bersama Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 12:13 AM
Zakaria guru yang menghasilkan ciptaan berguna untuk orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan iaitu E-Braille.