ALI Hamsa
RAJA Mohamed Affandi
myMetro

Arau: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mengetuai senarai 282 penerima darjah serta pingat kebesaran sempena sambutan Hari Keputeraan Raja Perlis Ke-74, tahun ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail berkenan mengurniakan Ali dengan Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) membawa gelaran Datuk Seri, di Balairung Seri Istana Arau, di sini, semalam.

Turut menerima SPMP adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Baginda turut berkenan menyampaikan anugerah kepada 38 lagi individu pada majlis yang sama semalam.

Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar, dianugerahkan Darjah Datuk Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DWSJ) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abdul Adzis Abas, dianugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Empat individu menerima Darjah Datuk Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSPJ) yang membawa gelaran Datuk iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis, Khairi Hasan; Panglima 9 Briged, Brigadier Jeneral Dzulkafli Mustaffa; Panglima 13 Briged (ESSCOM), Brigadier Jeneral Muhammad Anwar Abdullah dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 2:29 AM