Mohd Zani menunjukkan senapang patah yang berjaya ditemui semula. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Mohd Zani menunjukkan senapang patah yang berjaya ditemui semula. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menumpaskan geng samun bersenjata dikenali sebagai Geng Koki selepas menahan sembilan individu termasuk dua wanita dalam dua tangkapan berasingan semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, tangkapan dibuat selepas polis mengesan lima suspek yang baru saja melarikan sebuah kereta milik pesara tentera di plaza tol Sri Muda menghala ke Alam Impian, Shah Alam, semalam.

Beliau berkata, suspek dikesan di Bukit Jalil selepas mereka melarikan kenderaan jenis Toyota Camry itu.

"Susulan tangkapan berkenaan membawa kepada penahanan empat lagi suspek di Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalil, Flat PPR Seksyen 8 Kota Damansara dan di Taman Sri Manja, Petaling Jaya.

"Kita percaya dapat menyelesaikan 10 kes samun di Petaling Jaya, Shah Alam dan Sungai Buloh. “Semua suspek berusia 20 hingga 30 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 5:37 PM