Peserta pesta dadah ditahan polis. FOTO ihsan polis


POLIS menahan 27 lelaki dan 11 wanita berusia 19 hingga 32 tahun dalam keadaan khayal di dua bilik di sebuah pusat peranginan di Minyak Beku, Batu Pahat, 7 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, semua suspek termasuk penganjur, seorang lelaki berusia 24 tahun dari Taman Bukit Pasir, di sini, ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, ketika serbuan dilakukan semua suspek didapati menari dan berhibur dalam keadaan khayal dengan muzik kuat dipercayai di bawah pengaruh dadah.

"Semua suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk menjalani ujian saringan air kencing mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1953.

"Selain itu, kami merampas pelbagai peralatan yang digunakan dalam pesta berkenaan.

"Kami juga akan mengeluarkan saman kepada penganjur pesta itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 5:07 PM