Azril ditemui lemas. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman

KAKITANGAN hotel ditemui lemas ketika menyertai aktiviti bina pasukan bersama rakan sekerjanya di Pantai Pasir Panjang di Pulau Tuba, Langkawi, petang semalam.

Mayat Azril Ahmad, 36, dari Kampung Bohor Tempoyak, Mukim Kedawang di sini, ditemui rakan-rakannya pada 5.45 petang.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, ketika kejadian mangsa dilaporkan sedang menyertai aktiviti bina pasukan bersama 20 rakannya di pantai berkenaan.

"Siasatan awal mendapati mangsa adalah kakitangan bahagian kejuruteraan di sebuah hotel di Pantai Kok di sini yang menyertai aktiviti bina pasukan anjuran majikannya.

"Mangsa dilaporkan terjun seorang diri dari bot yang dinaiki untuk berenang ke pantai tanpa memakai jaket keselamatan sebelum mengalami kejang kaki dan tenggelam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Che Ghazali berkata, sejurus mangsa dinaikkan ke darat pemeriksaan awal oleh rakan-rakannya mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan mayat dihantar ke Hospital Langkawi (HL) untuk bedah siasat.

"Mangsa dilaporkan baru sebulan bekerja di hotel terbabit.

"Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mengesahkan punca kematian adalah akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 11:26 AM
Skip this ad x