Ramlee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencabul seorang gadis berusia 20 tahun pada 7 Mei lalu. FOTO Mohd Azren Jamaluddin
Izlaily Nurul Ain Hussein


TUKANG urut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas tuduhan mencabul pelanggan wanitanya berusia 20 tahun, 7 Mei lalu.

Tertuduh, Ramlee Abdullah, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas wanita itu dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di Jalan Titiwangsa 13, Taman Tampoi Indah, Johor Bahru, pada 9.30 pagi, 7 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir manakala tertuduh diwakili peguam Datin Freda Josephine Gonzales.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 2:07 PM