Fadli Jaafar (kanan) bertemu ahli keluarga selepas lebih satu bulan ditahan anggota keselamatan Indonesia. FOTO Zaid Salim


DUA daripada lima nelayan yang ditahan kerajaan Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu selamat tiba di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus malam ini selepas lebih satu bulan ditahan di Pulau Terempa, Indonesia.

Fadli Jaafar,41, dan Abdul Halim Nik, 43, tiba di Dataran Permata Seberang Takir, Kuala Nerus kira-kira jam 12 malam.

Kepulangan dua sahabat itu bukan hanya disambut ahli keluarga dan rakan mereka tetapi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Bagaimanapun, tiga lagi yang masih ditahan ialah Mohd Zaidi Mohammad, 23 dan Abdul Rashid Nik, 52, dari Kampung Seberang Takir serta Firdaus Mohamad, 27, dari Kemaman.

Difahamkan Mohd Zaidi dan Firdaus sudah dibebaskan tetapi ditahan sementara untuk dijadikan saksi perbicaraan Abdul Rashid yang juga tekong bot berkenaan.

Pembebasan nelayan berkenaan dibuat hasil rundingan kerajaan negeri menerusi UMNO Bahagian Kuala Terengganu sebaik mereka ditahan pada April lalu.

Fadli dan Abdul Halim dibawa keluar dari Pulau Terempa oleh Jabatan Imigresen Indonesia dan Tentera Laut Indonesia menggunakan bot laju yang mengambil masa selama 10 jam untuk sampai ke Jeti Tanjung Pinang sebelum dibawa ke Stulang Laut, Johor Bahru jam 12.30 tengah hari dan meneruskan perjalanan ke Terengganu.

Pada 8 April lalu, lima nelayan terbabit bersama seorang lagi awak-awak warga Thailand ditahan pasukan Tentera Laut Indonesia ketika berada pada jarak lima batu nautika melepasi sempadan perairan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2017 @ 1:18 AM