Pegawai SPRM membawa Siti Nor untuk didakwa atas tujuh pertuduhan membuat tuntutan perubatan palsu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Rosdan Wahid
Pegawai SPRM membawa Siti Nor untuk didakwa atas tujuh pertuduhan membuat tuntutan perubatan palsu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Rosdan Wahid
Sarah Zulkifli


PEGAWAI tadbir di Markas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas tujuh pertuduhan membuat tuntutan perubatan palsu berjumlah RM109,979, pada 2013.

Tertuduh, Siti Nor Hakiki Abdullah, 38, membuat pengakuan itu sebaik semua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Terdahulu, dia yang menggunakan kerusi roda kerana menghidap penyakit tulang belakang terpaksa dibantu beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk masuk ke dalam kandang tertuduh.

Selepas prosiding tamat, Siti Nor yang dihampiri suaminya dilihat menangis teresak-esak hingga lelaki berkenaan terpaksa menenangkannya.

Mengikut ketujuh-tujuh pertuduhan, wanita itu didakwa dengan niat untuk memperdayakan Pegawai Tadbir Awam Markas Logistik Udara Kementerian Pertahanan Malaysia, Siti Kartika Sari Mohamad Salleh, suatu dokumen, iaitu Borang Perubatan 1/09 Permohonan Perbelanjaan Kemudahan Perubatan berhubung tuntutan pembayaran bagi pembelian ubatan, antaranya jenis Pregbalin 150 miligram (mg) dan Oxynorm 5 mg.

Selain itu, ubatan lain adalah Celecoxib 500 mg dan Lyrica 150 mg yang dibeli di AA Farmasi Bargain Base Sdn Bhd, Bangsar, yang mana semua tujuh resit itu mempunyai butiran yang palsu, iaitu ubat berkenaan tidak pernah dibeli.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat Markas Logistik Udara Pengkalan Udara antara 12 Ogos 2013 hingga 31 Disember 2013.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai butiran matan yang palsu atau silap itu.

Hakim Allaudeen Ismail membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang jaminan serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 26 Julai ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 4:16 PM