Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS tidak menerima sebarang laporan setakat ini berhubung kejadian sebuah Perodua Myvi dipandu menyongsang arus yang didakwa berlaku di Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Kulai, Johor.

Video kejadian berkenaan tular di laman sosial Facebook (FB) sejak pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said berkata, semakan dibuat mendapati pihak PLUS, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta Unit Peronda Lebuh Raya (HMPV) Bukit Aman tidak menerima laporan kejadian itu.

"Setakat ini tiada sebarang laporan kami terima. Pihak PLUS, LLM dan HMPV Bukit Aman juga tiada menerima sebarang laporan berhubung kejadian yang berlaku," katanya menerusi mesej aplikasi WhatsApp kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai video berdurasi seminit 26 saat yang memaparkan tindakan pemandu sebuah Perodua Myvi berwarna perak bergerak berlawanan arah.

Video itu tular di FB serta turut dikongsi menerusi WhatsApp dan mendakwa kejadian berlaku kira-kira 8.20 pagi tadi.

Perakam video itu turut menyebut nombor pendaftaran kenderaan itu iaitu WSF1705 yang dikatakan menghala ke utara namun menggunakan laluan lebuh raya arah ke selatan.

Kejadian itu juga dirakam beberapa pengguna lebuh raya itu dan beberapa video kejadian berkenaan turut ditularkan.

Rata-rata netizen yang memberi komen negatif terhadap tindakan pemandu kenderaan itu yang nyata menyalahi undang-undang dan membahayakan pemandu lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 1:51 PM
POLIS masih belum terima laporan berhubung kejadian sebuah Perodua Myvi dipandu menyongsang arus didakwa berlaku di Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Kulai, Johor. FOTO FB