AZIRA menunjukkan gambar anaknya bersama hasil lukisan.

Shah Alam: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu nasib gadis berusia 12 tahun yang menderita akibat menghidap penyakit kanser darah atau leukemia sejak enam tahun lalu.

Namun, ia tidak mematahkan semangat Tengku Nur Arianna Tengku Nash Irwanuddin meneruskan kehidupan walaupun menjalani 30 rawatan kemoterapi sepanjang tempoh itu.

Malah, dia memerlukan bekalan darah 568 milimeter (ml) sehari berikutan pendarahan dan menelan 30 ubat.

Ibu gadis itu, Azira Abd Aziz, 39, berkata, anaknya sepatutnya sembuh namun virus yang masih merebak di kepala menyebabkan Arianna masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan di Subang Jaya.

“Walaupun menjalani pembedahan dan pemindahan tulang sum-sum dengan mengambil air tulang bapanya pada Mac lalu, keadaan Arianna belum sembuh.

“Malah, kesihatannya semakin merosot dan sehingga kini masih ditempatkan di ICU berikutan virus yang merebak,” kata penjawat awam itu ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 13, di sini, semalam.

Menurutnya, biarpun Arianna lebih tiga bulan menghuni pusat perubatan itu, dia berbangga dengan semangat dan kecekalan anak sulung daripada dua beradik terbabit.

“Dia kerap bertanya mengapa tidak boleh pergi sekolah namun mengambil inisiatif sendiri belajar sendiri supaya tidak keciciran pelajaran. Dia mahu menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah(UPSR.

“Selain itu, dia menghabiskan masa dengan lukisan bagi meluahkan perasaan mengenai penyakitnya di atas kertas lukisan dan cawan kertas kosong,” katanya.

Azira berkata, dia membelanjakan RM1 juta merawat penyakit anaknya itu dan kini kesuntukan dana untuk berbuat demikian.

“Kami sekeluarga sudah melakukan pelbagai cara termasuk membuat pinjaman dengan saudar-mara dan mencagar rumah sendiri.

“Namun, kos rawatan Arianna masih memerlukan antara RM500,000 dan RM600,000 lagi,” katanya.

Menurutnya, dia bukan tidak mahu menghantar anaknya ke hospital kerajaan namun permohonannya ditolak berikutan ketiadaan pakar untuk merawat penyakit itu sehingga menyebabkannya beralih ke hospital swasta.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank milik Azira di nombor akaun 162106521470.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 9:56 AM