Cox’s Bazar: Alunan bacaan ayat suci al-Quran kedengaran jelas dari Madrasah Al Islamia Eja Atul di Kem Pelarian Rohingya di Kutupalong di sini, tatkala melalui kawasan itu.

Hati menjadi tenang, jiwa penulis semakin hiba sebaik melihat sekumpulan anak kecil yang bersila dalam bulatan khusyuk mengulangi ayat demi ayat dan surah demi surah untuk menghafaznya.

Madrasah beratapkan plastik itu dipenuhi kira-kira 30 kanak-kanak berusia seawal lima tahun yang masing-masing memegang al-Quran dan tidak berhenti membacanya.

Sambil diperhatikan empat guru agama yang memegang rotan dan mengelilingi kanak-kanak berkenaan, kesungguhan mereka mendalami ilmu agama membuatkan penulis berasa kagum.

Mendekati kumpulan kanak-kanak itu, penulis dimaklumkan 15 daripada mereka sudah menghafaz 30 juzuk al-Quran seawal usia sembilan tahun.

Ternyata kedaifan yang menghimpit tidak mematahkan semangat malah menjadikan kanak-kanak etnik Rohingnya di situ lebih dekat dengan ilmu agama dan al-Quran.

Segalanya dilakukan tanpa paksaan keluarga malah kanak-kanak yang hanya memakai kemeja-T lusuh terlebih dulu menunaikan solat secara berjemaah di madrasah berkenaan.

Apa yang berlaku di kem pelarian ini benar-benar menginsafkan dan mampu memberikan 1,001 pengajaran buat semua.

Seorang tenaga pengajar di madrasah berkenaan, Ustaz Sheik Al-Alamah Wali Ahmad berkata, walaupun berstatus pelarian, hak untuk belajar bagi kanak-kanak itu tidak boleh dinafikan.

“Kanak-kanak seawal usia lima tahun di kem ini diajar menghafaz al-Quran dan mereka sangat meminatinya selain menjadikan aktiviti itu untuk mengisi masa terluang.

“Kanak-kanak ini akan membaca surah yang akan ditetapkan oleh tenaga pengajar berulang kali setiap pagi (selepas Subuh), Zuhur dan selepas solat Maghrib secara berjemaah,” katanya menerusi penterjemah Nabil Amin.

Sheikh Al-Alamah berkata, kanak-kanak pelarian di Kem Kutupalong itu juga amat bersemangat untuk menimba ilmu agama dan madrasah berkenaan sentiasa penuh setiap hari.

“Mereka amat berdisiplin, setiap masa yang ditetapkan mereka akan hadir tepat pada masa walaupun dalam kedaifan apatah lagi selepas dilanda taufan.

“Kebanyakan barangan dan kitab seperti al-Quran dan buku agama hasil wakaf daripada masyarakat luar kepada kem berkenaan,” katanya.

Sheikh Al-Alamah ditemui Harian Metro yang mengikuti rombongan bersama badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan, EZ Qurban Sdn Bhd pada program Prihatin Ummah Ramadan.

Ketua Misi EZ Qurban Sdn Bhd Muhammad Amir Zahari berkata, kunjungan ke kem berkenaan pada mulanya untuk menyampaikan sumbangan.

“Namun pihak berkuasa di sini melarang untuk mengagihkan sumbangan berkenaan kerana bantuan berkenaan perlu disalurkan kepada pihak tertentu bagi mengelakkan perebutan berlaku.

“Pelarian di sini sangat ramai, kami bimbang jika bantuan disalurkan di kem, kejadian tidak diingini akan berlaku,” katanya.

Keterangan Gambar:

1. Kanak-kanak di kem pelarian rohingya Kem Kutupalong bergelar hafiz seawal usia lima tahun.

2. Mugshot Sheikh Al-Alamah Wali Ahmad.

3. Suasana kanak-kanak sedang menghafal al-Quran di madrasah di kem pelarian Rohingya Kutupalong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 6:01 AM
KANAK-KANAK mengharungi cabaran untuk sampai ke madrasah bagi mendalami ilmu agama.