Aida meninggal dunia selepas dirempuh kereta ketika melintas jalan di depan rumahnya di Kampung Bukit Sireh, Kuala Nal, Kuala Krai, hari ini.
Aida meninggal dunia selepas dirempuh kereta ketika melintas jalan di depan rumahnya di Kampung Bukit Sireh, Kuala Nal, Kuala Krai, hari ini.
Rohaida Omar


SURI rumah yang mahu membeli ikan untuk lauk berbuka puasa maut selepas dilanggar kereta ketika melintas jalan di depan rumahnya di Kampung Bukit Sireh, Kuala Nal, Kuala Krai, hari ini.

Dalam kejadian 1.20 tengah hari, mangsa, Aida Mamat, 35, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Saksi kejadian, Zuraini Abdullah, 36, berkata, mangsa yang mempunyai tiga anak berusia dua hingga tujuh tahun mahu membeli ikan dan melintas jalan untuk menunggu van menjual ikan.

Zuraini yang turut mahu membeli ikan berada di hadapan rumah dan bercakap dengan ibunya.

"Ketika saya bercakap dengan ibu, saya nampak mangsa sedang melintas jalan dan berada berdekatan tiang elektrik.

"Secara tiba-tiba, saya terdengar bunyi dentuman dan melihat mangsa sudah terbaring tepi jalan", katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superitendan Abdullah Ronning mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 6:06 PM