Nabihah Kamal


AMBIL kesempatan menggunakan lagu popular untuk berdakwah. Itu yang dilakukan empat sekawan, Aniq Muhaimin Ismail,Muhammad Fahimi Rahmat, Muhammad Firdaus Rahmat dan Amir Firdaus Razali, masing-masing berusia 20 tahun.

Mereka kini semakin terkenal selepas menyanyikan semula lagu Despacito nyanyian Justin Bieber, Daddy Yankee dan Luis Fonsi yang diubah liriknya dengan unsur dakwah dan ditukar tajuknya dengan Dengarilah.

Empat pemuda itu adalah ahli kumpulan nasyid moden, The 4aith yang ditubuhkan di Kuala Lumpur sejak 13 Jun tahun lalu.

Mereka mengubah lirik lagu bahasa Inggeris yang menjadi ikutan dengan lirik berunsurkan dakwah. Selain lagu ‘Despacito’, lagu lain yang diubah suai adalah seperti lagu Love Yourself nyanyian Justin Bieber yang ditukar kepada Kembalilah,Locked Away nyanyian Adam Levine ditukar kepada Persahabatanku dan Photograph nyanyian Ed Sheeran ditukar kepada Mengingatimu.

Penerbit lagu untuk The 4aith Adnin Roslan berkata, dia bersama empat pemuda itu menukar lirik lagu Despacito dalam bahasa 'Sepanyol ' kepada bahasa Malaysia hanya dalam tempoh tiga jam.

"Kami memberi nafas baru dengan mengubah lirik lagu itu dengan unsur dakwah dan tajuknya 'Dengarilah'.

"Proses mencipta lirik hanya tiga jam dan rekod semula lagu itu memakan masa lima hari sebelum kami mula muat naik pada minggu lalu," katanya.

Menurut Adnin, tujuan menghasilkan lirik baru itu supaya kita mendekatkan diri kepada Allah SWT.

"Ini adalah pendekatan baru yang digunakan oleh golongan muda untuk berdakwah kepada orang ramai melalui media sosial," katanya.

Menurutnya, ia adalah lagu kesembilan yang diubahsuai dan dinyanyikan oleh The 4aith.

"Alhamdulillah lagu yang dihasilkan (Dengarilah) dapat perhatian netizen selepas dimuat naik di YouTube dan Facebook. Terkini lebih 17,000 menonton video kami yang berdurasi dua minit itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 10:34 PM
(Dari kiri) Aniq Muhaimin, Muhammad Fahimi , Amir Firdaus dan Muhammad Firdaus, anggota kumpulan The 4aith.