Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, menunjukkan susu yang dirampas hasil penahanan empat suspek. - Foto NORIZUAN SHAMSUDDIN
Norizuan Shamsuddin

POLIS menumpaskan sindiket curi susu rumusan bayi di pasar raya dan kedai serbaneka 24 jam didalangi 'Geng Susu Kangkang' hasil penahanan empat suspek di Kota Damansara, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita itu ditahan hasil operasi sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Risikan, Operasi dan Rekod (D4).

Menurutnya, polis menerima laporan kes samun dan mendatangkan kecederaan yang berlaku di pasar raya di Kelana Jaya pada 20 Mei lalu.

"Suspek berusia antara 25 hingga 49 tahun itu ditahan ketika memberhentikan kenderaan di depan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Dataran Sunway, Kota Damansara, pada 6.55 petang.

"Polis turut merampas 17 tin dan 21 kotak susu rumusan bayi pelbagai jenama, lima telefon bimbit, tablet, dua beg tangan, dua beg galas serta kereta model Perodua Alza yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Hasil soal siasat, mereka mengaku melakukan kegiatan mencuri susu rumusan bayi di pasar raya dan kedai serbaneka 24 jam sekitar Lembah Klang serta terbabit dalam kes samun di Kelana Jaya," katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya, hari ini.

Menurutnya, semua suspek direman tujuh hari sehingga Rabu ini bagi siasatan mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 12:36 PM