ANGGOTA polis mengiringi pegawai SPRM ke Mahkamah Bukit Mertajam untuk menyambung reman. FOTO Amir Irsyad Omar
ANGGOTA polis mengiringi pegawai SPRM ke Mahkamah Bukit Mertajam untuk menyambung reman. FOTO Amir Irsyad Omar
Hadzlihady Hassan


MAHKAMAH Majistret Bukit Mertajam, hari ini, melanjutkan tempoh reman pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama dua hari bagi membantu siasatan kes memeras ugut pegawai polis.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nurulrasyidah Mohd Akit kira-kira 11 pagi, hari ini.

Suspek yang berusia 37 tahun itu sebelum ini direman selama tiga hari dan tempoh reman terhadapnya tamat hari ini.

Dalam kejadian Jumaat lalu, suspek yang bertugas menyelia kes di Zon Utara diberkas sepasukan polis dari bahagian Kongsi Gelap, Judi & Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pada 10.20 malam.

Dalam serbuan itu polis turut merampas beberapa barang suspek antaranya kad kuasa SPRM, wang tunai berjumlah RM3,000, kelongsong peluru 9mm jenis SME, kereta serta telefon bimbit.

Suspek dipercayai memeras ugut anggota polis dengan menetapkan bayaran RM3,000 setiap bulan bagi mengelak ditangkap SPRM.

Berita berkaitan:

Pegawai SPRM direman

SPRM alu-alukan tindakan tegas polis

Pegawai polis tangkap pegawai SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 12:15 PM