Idris memegang dokumen perjanjian yang telah dimeterai lima hospital pengajar universiti. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Idris memegang dokumen perjanjian yang telah dimeterai lima hospital pengajar universiti. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Nursyahirah Marzuki


LIMA Hospital Pengajar Universiti hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) melalui penubuhan Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia (KHUAM) bagi meningkatkan kerjasama dalam pendidikan perubatan di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, inisiatif penubuhan KHUAM adalah langkah awal yang dapat memberikan impak dan manfaat kepada perkembangan sektor penjagaan kesihatan yang disediakan Hospital Pengajar Universiti.

"Sebagai langkah permulaan, lima hospital iaitu pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM); Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM); Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM); Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PPUIAM) dan Hospital Pengajar Universiti Teknologi MARA (HPUiTM) akan bekerjasama dalam melaksanakan prinsip kesepunyaan dan kerakanan.

"Bagaimanapun, enam universiti lain yang menawarkan program perubatan namun belum mempunyai hospital pengajar turut menandatangani Aku janji sebagai tanda sokongan.

"Universiti yang terbabit adalah Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA); Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Universiti Malaysia Sabah (UMS); Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis MoA dan Aku janji KHUAM di Putrajaya, hari ini.

Katanya, penubuhan konsortium akan menjadi asas di peringkat nasional bagi menyelaras secara bersepadu dan bersifat lebih agresif terutama dalam usaha menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan yang bertaraf global dan penjenamaan semula Hospital Pengajar Universiti.

"Malah, ia dapat memberi manfaat dalam penerokaan bidang baharu seperti pelancongan kesihatan; perkongsian sumber; penyelarasan data pesakit dan peningkatan kepakaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 5:10 PM