Nabihah Kamal


PERNAH lihat kucing dipakaikan baju kurung dan blaus peplum, kurta, serta baju Melayu berserta songkok? Bukan lagi janggal kerana persalinan itu ditawarkan untuk pemilik kucing bagi digayakan ‘si bulus’ kesayangan mereka pada Aidilfitri nanti.

Pemilik Meowku Enterprise, Nur Athirah Ahmad, 25 dan rakannya Mohammad Affin Aizat Anuar, 28, yang beroperasi di Setapak, Kuala Lumpur menawarkan pilihan baju raya itu sejak 1 Ramadan lalu dan menjualnya secara dalam talian atau membayar tunai ketika penghantaran.

Menurut Nur Athirah yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi UNISEL, dia pada mulanya memuat naik gambar songkok khas untuk kucing pada hari pertama berpuasa di Instagram dan Facebook akaun Meowku.

"Kami menyediakan baju raya dan 150 songkok yang boleh di ubahsuai saiz sebulan sebelum Ramadan lagi. Apabila saya muat naik gambar songkok kucing, banyak permintaan yang diterima dan ia laris dijual dalam masa sehari saja.

"Permintaan bukan saja diterima di Malaysia, malah ada yang dari Singapura, Brunei dan Australia menempahnya,"

Sementara itu, Mohammad Affin berkata, dia menghasilkan baju itu dalam tiga jenis saiz serta pelbagai rekaan untuk kucing jantan dan betina.

"Antara baju raya kucing yang saya jual adalah kurta, baju Melayu, baju kurung dan blaus 'peplum' yang boleh disuaikan dengan 40 warna mengikut citarasa pelanggan.

"Berdasarkan ukuran yang kami perolehi tahun lepas, kami menghasilkan saiz S untuk kucing usia kurang dari enam bulan, M untuk kucing lebih setahun dan L kucing bersaiz besar," katanya yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda kejuruteraan UNISEL.

Menurutnya, harga setiap baju raya kucing dijual bermula dari RM32 hingga RM45 manakala songkok kucing berharga RM10.

"Sepanjang bulan ini kami jual lebih 400 pasang baju dan esok kami berada di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di gerai 3211 untuk jual pakaian kucing sempena Aidilfitri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 12:14 AM
Nur Athirah dan Mohammad Affin jual baju raya untuk kucing. FOTO Saiful Iskandar