Ibrahim (tengah) menyembur air bagi melupuskan rokok seludup, bunga api dan mercun sambil diperhati Mohd Adni (kanan). FOTO Syaherah Mustapa
Siti Nor Hidayatidayu Razali


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat melupuskan 52 kotak rokok seludup, mercun dan bunga api di Balai Polis Rantau Panjang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, rokok seludup, bunga api dan mercun yang dilupuskan itu adalah rampasan sepanjang 2016 dan awal tahun ini.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan itu lebih RM100,000 yang dibuat menerusi lapan kes.

"Kita membuat pelupusan kerana barang ini tidak bercukai dan tiada pemilik.

"Pelupusan dibuat dengan semburan air ke atas barang rampasan sebelum dimasukkan dalam lubang," katanya hari ini.

Turut hadir, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Mohd Adni Ibrahim.

Beliau berkata, polis sentiasa membuat pemantauan untuk mengekang masalah penyeludupan bersama pasukan keselamatan yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 1:34 PM