PTPTN sedia saluran ‘direct debit online’ beri kemudahan peminjam bayar balik pinjaman.

Kuala Lumpur: Pelbagai saluran pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) termasuk yang terkini, secara debit terus dalam talian (direct debit online) bertujuan memberi kemudahan peminjam menguruskan pembayaran balik pinjaman mereka.

Mohd Shafiq Mohd Rosli, 24, berkata, platform itu menawarkan keselesaan kerana mudah diakses, malah potongan bulanan secara automatik dapat dibayar secara konsisten.

“Inisiatif PTPTN ini satu usaha yang bagus bagi memudahkan urusan kedua-dua pihak.

“Saluran bayaran balik melalui direct debit ini alternatif bayaran balik pinjaman kepada peminjam yang tidak mahu membuat potongan gaji atau perbankan Internet lain, tetapi ingin membayar secara konsisten.

“Pengalaman saya selepas menggunakan perkhidmatan itu bulan lalu, ia menjimatkan masa dan tidak perlu lagi log masuk berulang kali seperti ketika membayar balik pinjaman menggunakan perbankan Internet dan JomPay sebelum ini,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini.


MOHD Shafiq Mohd Rosli (kiri) dan Yip Hon Lean.

Yip Hon Lean, 26, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) turut bersetuju dengan pendapat rakannya itu.

Sudah dua tahun membayar balik pinjaman secara konsisten menerusi medium perbankan Internet, Yip merasakan direct debit itu lebih menyenangkan peminjam.

“Kita tidak perlu mengharungi trafik yang sesak dan menunggu lama untuk berurusan di kaunter dengan sistem ini.

“Bagi mereka yang kerap terlupa atau terlajak tarikh melakukan bayaran balik setiap bulan, direct debit menghilangkan kerisauan kerana potongan bulanan dilakukan secara automatik,” katanya yang membayar RM200 setiap bulan.

Sementara itu, kaedah direct debit diperkenalkan sejajar usaha Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan infrastruktur pembayaran di Malaysia berdaya saing, cekap, terbuka dan inovatif secara elektronik (e-pembayaran) bagi memenuhi keperluan ekonomi sekarang serta masa hadapan.

Kaedah itu bukan saja mengelak tunggakan, malah memastikan rekod baik peminjam di dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Peminjam yang membuat pembayaran menggunakan direct debit boleh menikmati diskaun 10 peratus yang ditawarkan sehingga 31 Disember depan.

Sebanyak 17 bank menyediakan kemudahan bayaran melalui kaedah itu dan permohonan boleh dibuat melalui www.ptptn.gov.my dengan klik pada ikon ‘Permohonan direct debit di ruangan Perkhidmatan Atas Talian.

Permohonan diproses dalam masa tiga hari berkerja.

Kaedah lain yang disediakan untuk membuat pembayaran balik pinjaman ialah menerusi perbankan Internet, FPX, MyPay dan JomPay.

Kemudahan direct debit online juga boleh digunakan untuk pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bagi tujuan menambah simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 9:02 AM