Sultan Ibrahim diiringi Wan Ahmad Najmuddin (kanan) bersalaman dengan pegawai polis ketika hadir ke Majlis Berbuka Puasa bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Mohd Sabran Md Sani


SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Sultan Ibrahim yang tiba pada 6.45 petang bersama Raja Zarith turut diiringi Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta isteri Che' Puan Khaleeda.

Turut serta, Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri termasuk Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor Abd Mutalip Abd Rahim dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat.

Turut diadakan majlis pengurniaan sumbangan disempurnakan Raja Zarith kepada 25 anak yatim, 25 balu anggota dan pegawai polis dan 45 pesakit kanser.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 9:01 PM