X
Ridhatul Rizki


“DIA adalah idola saya. Saya terharu dan bersyukur apabila dia beritahu mahu berkongsi video saya dalam laman YouTube miliknya. Maknanya dia menyedari kehadiran saya dalam bidang ini," kata Mohamad Sofian Abdullah, 21, mengenai maklum balas penyunting video yang terkenal di YouTube, Zach King, terhadap video suntingan Sofian yang turut menampilkan Zach dalam video terbabit.

Sofian berkata, dia pernah mengimpikan untuk menghasilkan sebuah video kerjasama dengan Zach.

“Impian saya untuk menghasilkan video dengan Zach mungkin mustahil. Jadi saya mengambil insiatif menyunting videonya untuk digunakan dalam video saya.” katanya.

Hasil suntingan Sofian itu menerima perhatian Zach apabila lelaki berasal daripada Amerika Syarikat itu berminat berkongsi video terbabit di laman YouTube miliknya.

Dalam maklum balas menerusi Twitter , Zach kagum dengan hasil suntingan anak kelahiran Kelantan itu.

“Wah, video ini sangat menarik! Boleh saya kongsikan di laman Youtube saya?,” tulis Zach di Twitter yang dihantar pada 22 Mei lalu.

Tambah Sofian, dia mula berminat dalam bidang suntingan video apabila sering melihat video ‘magis’ Zach di YouTube.

“Mula-mula saya ingat dia buat ‘magis’. Kemudian baru saya tahu bahawa ia adalah suntingan video.

Sejak itu, saya mula belajar menerusi YouTube bagaimana menghasilkan video sedemikian,” katanya yang tidak pernah menerima pendidikan formal dalam bidang itu.

“Saya mula menghasilkan video seperti itu ketika berusia 14 tahun. Dulu saya sangka bidang ini tiada masa depan, jadi saya hasilkan video itu sekadar mengisi masa lapang.

“Apaila ramai yang menggemari hasil suntingan saya, akhirnya baru saya nampak bahawa masa depan saya dalam bidang ini agak cerah,” katanya yang kini berkhidmat dengan sebuah syarikat swasta dalam bidang yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2017 @ 9:00 PM
Sofian terharu Zach mahu berkongsi videonya dalam YouTube Zach.
Sofian terharu Zach mahu berkongsi videonya dalam YouTube Zach.