Situasi kemalangan menimpa Julfekar dan isteri. FOTO ihsan Julfekar Ahmad Shah
Situasi kemalangan menimpa Julfekar dan isteri. FOTO ihsan Julfekar Ahmad Shah
Sudirman Mohd Tahir


KOMPOSER, Julfekar Ahmad Shah dan isteri berdepan detik cemas selepas terbabit kemalangan jalan raya di Jalan Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semalam.

Julfekar ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku 5 petang ketika dia bersama isterinya penyanyi Min Yasmin dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

"Ketika giliran saya nak membuat pusingan U menghala ke Kuala Lumpur, tiba-tiba saja sebuah motosikal ditunggang laju merempuh kereta. Ditambah pula semasa kejadian jalan sesak.

"Saya dan isteri panik. Apabila keluar, saya melihat penunggang terbaring dengan kesan luka dan darah di tangan," katanya.

Julfekar berkata, selepas memberi bantuan kepada penunggang itu, dia bersama isteri ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah bagi membuat laporan.

"Pintu sebelah kanan kereta calar dan kemek. Bagi saya itu tak mengapa asal kami suami isteri dan penunggang itu selamat. Itu yang lebih penting kerana kereta boleh diperbaiki.

"Saya sempat menasihati lelaki itu agar tidak menunggang laju terutama dalam kesesakan lalu lintas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 1:25 PM