MATA serampang ikan yang tercucuk pada kaki kiri mangsa. FOTO ihsan Bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KANAK-KANAK lelaki terpaksa dikejarkan ke Hospital Serian selepas mata serampang ikan tercucuk di kaki kirinya, hari ini.

Kejadian 4.30 petang itu menyebabkan Jude Dunstion Ken, 9, menahan kesakitan sebelum anggota bomba dipanggil untuk mengeluarkan mata alat menangkap ikan itu.

Serampang ikan itu dipercayai tercucuk pada kaki kiri ketika mangsa bermain di rumahnya di Kampung Koran Empaneng, Serian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Hospital Serian 4.41 petang untuk meminta bantuan mengeluarkan mata besi itu.

Menurutnya, pihak hospital sudah cuba mengeluarkan alatan itu dari kaki mangsa namun tidak berjaya selain bimbang kecederaan lebih serius akan berlaku.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian dikejarkan ke hospital berkenaan.

"Anggota bomba memotong mata serampang itu yang diperbuat daripda besi menggunakan pemotong khas dengan berhati-hati bagi mengelakkan risiko kecederaan," katanya.

Katanya, operasi mengeluarkan mata serampang itu mengambil masa 10 minit sebelum mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut.

Keterangan gambar

1) Mata serampang ikan yang tercucuk pada kaki kiri mangsa

Gambar ihsan bomba

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 10:02 PM