MUHAMMAD Hishamuddin berjalan di lintasan pejalan kaki 3D berhampiran Dapo Pata.
KEUNIKAN lintasan pejalan kaki 3D di Teluk Ketapang yang baru siap.
Helmy Abd Rahman

Kuala Nerus: Lintasan pejalan kaki tiga dimensi (3D) memang tidak pernah dilihat di tempat lain tetapi inisiatif dan idea kreatif yang dilaksanakan Pejabat Daerah Kuala Nerus di jalan berhampiran medan selera berkonsep kabin, Dapo Pata di Tok Jembal di sini, menarik perhatian ramai.

Keunikan yang ditampilkan itu menarik perhatian ramai, sekali gus mengundang pengunjung medan selera berkenaan dan penduduk sekitarnya menggunakan lintasan terbabit untuk melintas jalan.

Ramai juga yang mengambil kesempatan untuk bergambar di atas lintasan berkenaan bagi mengabadikan keunikannya.

Bagi penduduk Kampung Jembal, Muhammad Hishamuddin Mad Zali, 28, kewujudan lintasan itu sesuatu yang dialu-alukan penduduk sekitar.

“Ia satu idea kreatif dan membuatkan kampung ini semakin popular apabila ramai tularkan keunikan lintasan berkenaan di media sosial.

“Ramai yang datang bergambar sejak wujudnya lintasan ini pada akhir bulan lalu dan mereka kemudian memuat naik di media sosial,” katanya.

Menurutnya, selain idea yang segar, lebih penting orang ramai dan pengunjung medan selera menggunakan lintasan terbabit untuk melintas jalan.

Sebelum ini memang sukar untuk menarik orang ramai menggunakan lintasan pejalan kaki tetapi dengan konsep sedemikian, ramai orang tertarik, sekali gus ia menjadi perkembangan yang baik.

“Saya berasakan konsep lintasan seperti ini wajar diperluas di tempat lain terutama di lokasi yang dikunjung ramai orang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Nerus Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abd Jalil berkata, berikutan sambutan positif orang ramai yang tertarik dengan penghasilan lintasan terapung, Pejabat Daerah Kuala Nerus mengambil inisiatif mewujudkan satu lagi karya 3D berkenaan di Teluk Ketapang.

Lintasan 3D yang terletak di jalan utama berhampiran deretan gerai menjual ikan celup tepung itu siap, baru-baru ini.

“Pihak kami juga bercadang mewujudkan satu lagi lintasan pejalan kaki 3D di kawasan berhampirannya tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, selain menjadi tarikan pelancong, lintasan pejalan kaki berkenaan diwujudkan bagi memperkenalkan kemahiran pelukis dari Terengganu kepada masyarakat luar.

“Selepas lintasan pejalan kaki 3D berhampiran Dapo Pata siap, pelukisnya mendapat banyak tempahan dan secara tidak langsung memberi pulangan kepada daerah dan negeri ini juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 10:07 AM