Mangsa maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


DUA lelaki yang menunggang sebuah motosikal maut selepas merempuh bahagian sisi sebuah treler di Jalan Kem, Pelabuhan Klang, hari ini.

Dalam kejadian 9.50 pagi itu, motosikal terbabit dipercayai cuba memotong sebuah kereta dan sebuah treler sebelum topi keledar pembonceng dikatakan tercabut dan terjatuh di jalan raya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, penunggang motosikal dikenali sebagai Wan Mohd Zaidi Wan Salleh, 37, manakala butir pembonceng masih belum diketahui.

"Ketika cuba memotong dua kenderaan, topi keledar pembonceng tercabut dan keadaan jalan ketika itu sedikit membelok.

"Ketika itu, motosikal terbabit dipercayai hilang kawalan dan terlanggar bahagian sisi treler," katanya hari ini.

Alzafny berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 6:36 PM