TERTUDUH (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah
TERTUDUH (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah
Norasikin Daineh


KONTRAKTOR mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini, atas tuduhan membuat tuntutan palsu terhadap Jabatan Akauntan Negara Malaysia Negeri Sabah membabitkan nilai RM19,800 pada 2013.

Tertuduh, Kaslan Jiman, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Menurut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan dan butiran palsu mengenai kerja pembaikan pintu Pejabat Pentadbiran, Perpustakaan dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut.

Tuntutan itu bernilai RM19,800 yang sudah dilaksanakannya, bagaimanapun kerja itu sebenarnya tidak dilaksanakan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jabatan Akauntan Negara Malaysia di Kota Kinabalu pada 28 Oktober 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran palsu atau kesalahan itu atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, sekiranya sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan deposit RM8,000 dan seorang penjamin tempatan, selain pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Awang Samsul Baharam Bongsu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 11:54 AM