Anggota penguatkuasa Imigresen memeriksa warga asing yang ditahan di Negeri Sembilan, 10 Julai lalu. FOTO KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN (Gambar fail)
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) memeriksa 9,320 warga asing dalam 502 Operasi Mega e-Kad di seluruh negara bermula 1 Julai lalu hingga 8 pagi, hari ini dan 3,071 daripadanya ditahan kerana pelbagai kesalahan.

Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Mustafar Ali berkata, turut ditahan dalam operasi terbabit ialah 57 majikan dan 180 individu diberi notis untuk hadir memberi keterangan.

Menurutnya, warga Bangladesh mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 1,160 individu, diikuti warga Indonesia (695), Myanmar (231), Vietnam (116), Thailand (111), Flipina (95) dan bakinya dari pelbagai negara lain.

"Seramai 2,429 adalah lelaki, 570 wanita dan 15 kanak-kanak," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Mustafar berkata, operasi penguatkuasaan akan dijalankan berterusan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain dan tindakan tegas akan dikenakan kepada majikan serta PATI yang ditangkap.

Katanya, JIM sudah memberikan tempoh secukupnya bagi majikan mendaftarkan pekerja tetapi segelintir mereka tidak mengendahkannya dan individu ini bakal berdepan tindakan undang-undang.

"Majikan yang didapati menggaji PATI boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 . Selain itu, mereka boleh didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) (ATIPSOM) sekiranya ada elemen paksaan dan eksploitasi pekerja.

"Seramai 57 majikan sudah ditangkap dan didakwa di mahkamah sejak tamatnya program pendaftaran e-kad," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 7:05 PM