Keadaan gerai di Medan Selera Semabok, Melaka Tengah, yang terbakar. - Foto RASUL AZLI SAMAD
Salman Hamat dan Zairee Mohd Yasak


DUA lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan melecur akibat disambar api dipercayai berpunca daripada kebocoran gas dalam kebakaran di Medan Selera Semabok, Melaka Tengah, hari ini.

Mangsa yang melecur dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu berusia 12, 20, 25 dan 42 tahun.

Menurut saksi ada antara mangsa melecur pada muka, badan dan tangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil Penolong Kanan Penguasa Bomba Alias Ahmad berkata, kebakaran membabitkan empat daripada 16 gerai sederet.


Seorang wanita yang kedainya turut terbakar, ditenangkan anggota bomba dan orang ramai. - Foto RASUL AZLI SAMAD

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa wanita yang juga pembantu kedai ke premis berkenaan untuk melakukan pemeriksaan selepas penghuni kediaman berhampiran mengadu terhidu bau gas yang kuat.

"Api terus menyambar sejurus mangsa membuka pintu gerai.

“Kami sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran. Difahamkan setakat ini dua mangsa mengalami lecur yang agak serius," katanya.

Menurutnya semua mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan kecemasan.

Dua letupan dipercayai berpunca daripada tong gas turut berlaku ketika api sedang marak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 8:49 PM