Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


LELAKI yang ditahan kerana meletakkan bom buatan sendiri pada kereta bekas kekasihnya di Taman Damai, Kapar, Sabtu lalu, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, tempoh reman suspek 28 tahun yang berakhir semalam, dilanjutkan hari ini sebelum dibebaskan.

“Keputusan pendakwaannya akan dibuat Timbalan Pendakwa Raya tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, jururawat wanita berusia 27 tahun yang memandu dari klinik tempatnya bekerja di Kapar untuk pulang ke rumah, terdengar bunyi 'beep, beep...beep' dari dalam keretanya.

Bimbang perkara buruk berlaku, dia berhenti di rumah bapa saudaranya di Taman Damai untuk meminta bantuan sebelum mereka menemui objek bersaiz botol air mineral kecil (500ml) yang diubah suai seperti bahan letupan, dilekatkan menggunakan pita pelekat pada bampar kereta.

Sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bergegas ke lokasi melakukan pemeriksaan dan mendapati objek terbabit adalah peranti letupan atau Improvised Explosive Device (IED).

Suspek ditahan di sebuah rumah di Taman Petaling Indah pada 3.30 pagi, Isnin lalu.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, siasatan awal mengesyaki perbuatan lelaki itu yang bekerja sebagai juruteknik, bertujuan mengugut bekas kekasihnya kerana tidak melunaskan bayaran bulanan pinjaman bank kereta itu.

Beliau berkata, lelaki itu menjadi penjamin pinjaman berkenaan dan dia tidak berpuas hati dengan sikap bekas teman wanitanya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 6:53 PM