Mayat Yan Kiew Mooi, 72, yang maut dilanggar treler di Bandar Baru Putra, Bercham, Ipoh, hari ini. - Foto Ihsan Pembaca
Farah Suhaidah Othman

SEORANG wanita warga emas yang menunggang basikal maut dirempuh treler di simpang lampu isyarat Bandar Baru Putra, Bercham, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 8.45 pagi itu, Yan Kiew Mooi, 72, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati treler dipandu lelaki berusia 53 tahun itu dalam perjalanan dari Bercham menghala Kuala Kangsar manakala mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, treler berkenaan berhenti di simpang lampu isyarat dan memberi isyarat ke kiri untuk membelok ke arah Tanjung Rambutan.

"Sebaik lampu isyarat hijau, treler membelok ke kiri dan pemandunya terdengar bunyi seperti terlanggar sesuatu.

“Pemandu memberhentikan treler dan turun memeriksa sebelum mendapati dia melanggar mangsa yang dipercayai berada di kedudukan titik hitam (blind spot),” ketika dihubungi di sini, hari ini.

Chang Keong berkata, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 8:27 PM